Sunday, June 05, 2011

Aku Kembali: Warkah Maya buat Amiruddin

Untuk tatapan sahabat seagama tetapi bukan sehaluan fikrah yang di kasihi, Amiruddin, yang berada di Urbana, Champaign Illinois. Semoga saudara sihat walafiat diberkatiNya.


Saudara, pertemuan singkat kita di O’Hare International, Chicago walaupun sejenak amat mendalam kesannnya terutama cabaran saudara agar kenapa saya harus menggelar diri Islam walaupun menolak perjuangan PAS. Saya mendengar hujah lunak saudara, terpegun bahawa bakal PhD nuklear fizik mampu mengupas isu tanahaiir yang rumit secara simplistik. Saya tersenyum mendengar hujah saudara yang menuduh saya UMNO tegar kerana tidak sehaluan dalam kes Anwar Ibrahim. Saya teruja apabila anda mencabar saya membuktikan Ketuanan Melayu itu secocok dengan prinsip Islam. Lidah saya kelu berdepan dengan kecerdikan saudara berdebat, menguntai kata dengan begitu mudah persis pujangga . Timbul dalam benak saya apalah saya di sisi saudara yang penuh filasuf, penuh idealisma, penuh keyakinan akan kebenaran.

Dalam bayangan kehebatan saudara, saya malu mengaku saya cuma jurutera rekacipta lulusan Stanford, berada di US atas urusan kerja kontrak dengan Intel menyudahkan tugasan Ivy Bridge serta prototaip produk tablet untuk Computex di Taiwan. Selama 6 bulan sepeninggalan saya dari tanahair, tidak tersua saya dengan kelibat orang Melayu Malaysia kerana kesibukan tugas sehingga bertentang mata dengan saudara dikaunter tiket American Airlines di O’Hare- mungkin juga kerana tugasan saya yang kekadang memaksa saya dari Santa Clara, SF, ke Chicago berselang seli ada hikmahnya. Jazakallahu kerana menghadiahkan saya secebis Melayuana diperantauan yang sehingga kala itu sepi bicara dan santapan rohani dalam bahasa Melayu.

Dalam kegembiraan saya bertemu Melayu timbul juga kedukaan akan nasib yang menyelubungi Melayuseperti tampak dalam diri saudara. Dalam kehibaan itu saya meratapi pemergian satu nostalgia silam bahawa Melayu boleh berselisih pendapat tanpa mengorbankan kesusilaan Melayu. Mungkin dunia dah berubah tetapi Kemelayuan saya tetap tidak pudar di telan zaman. Mungkin juga keIslaman yang bertaut erat dengan keMelayuan dalam sanubari menghindar saya dari menghambur permusuhan dalam pertemuan. Kalau aku menyingkap jendela silam, terpampang jua realiti yang kita tak sehaluan dek politik tetapi itu bukan semestinya peluntur budi bahasa, bukan begitu? Apapun, saya tinggalkan episod pahit manis itu untuk menjawab cabaran saudara dalam blog abang saya. Ingatkah saudara yang saya pelawa saudara bertandang di blog abang saya syamilrevert sekembali saya ke Malaysia tercinta Jun ini. Walaupun blog picisan, ia tetap menjadi bukan sahaja tempat luahan pendapat, medan lontaran kalbu dan lowongan cetusan minda saya tetapi juga gelanggang lawan yang ada teloq (ikut loghat oghe Utagha) untuk berpedang fakta dengan saya.


Sebelum itu ingin saya jelaskan beberapa perkara:
1. saya apolitikus = tidak memihak kepada mana-mana pihak. Saya hanya berkiblatkan kepada yang mengangkat dan melindungi nasib Islam/Melayu. Saya sama2 meluat akan UMNO atau PAS apabila kepentingan dan dominasi Islam/Melayu dikorbankan untuk kepentingan politik. Pada saya yang tinggal maruah dan teloq sekarang, Perkasa. Umno dan PAS bagaikan jantan dibetinakan, tak berteloq dan hilang jatidiri.
2. Didikan kejuruteraan saya telah mengukuhkan dalam saya kecintaan kepada fakta bukan tohmah maklumlah saya senantiasa berdepan dengan pelbagai formula, algoritma dsbnya yang memerlukan penyelesaian secara rasional dan logic berasas data yang nyata. Tambahan pula, tarbiah Islamiah dan pembudayaan Melayu yang diterapkan arwah ayah saya mencorakkan kecenderungan saya kepada berhujah dengan nas dan dalil bukan nafs dan helah. Terngiang2 ditelinga kata hikmatnya : Melayu jati bermaruah adalah orang yang berani dengan kebenaran berasaskan budaya Melayu luhurnya dan jatidiri Islamnya.

Jadi bagi memendekkan cerita ikutilah syamilrevert untuk mendapat jawapan saya yang berpijak pada realiti walaupun di alam maya. Ingat segala nukilan saya di sana dan di blog Rocky’s Bru yang dihormati dan juga sedikit di blog lain telah menjadi kenyataan.


Wassalam
Warrior 231

No comments: